Bagaimana USB Flash Drive Berbahaya Boleh Merosakkan Komputer

Suatu hari, anda terjumpa satu USB Pendrive di tempat awam seperti dalam LRT lalu anda ambil dan bawa pulang atau ke pejabat kerana perasaan ingin tahu pada kandungannya.

Berhati-hatilah, ia mungkin pemacu kilat berbahaya ditinggalkan seseorang yang berniat jahat atau ingin membuat kacau.

{tocify} $title={Isi Kandungan}


Serangan Berlaku Sebaik Sahaja Dicucuk

Tak semua USB flash drive selamat digunakan. Ada yang direka khas untuk menyerang komputer sebaik sahaja disambungkan, tanpa perlu anda buka sebarang fail.

Salah satu cara serangan ini berlaku ialah dengan menyamar sebagai papan kekunci. Sebaik sahaja dicucuk, ia mula "menaip" arahan secara automatik untuk download dan memasang perisian hasad atau mengambil alih sistem. 

Dalam beberapa saat sahaja, komputer boleh terkena virus, data boleh dicuri, atau sistem boleh dikawal oleh orang lain tanpa anda sedar.


Bukan Sekadar Virus Tapi Juga Boleh Rosakkan Perkakasan

Selain perisian hasad, ada juga USB flash drive yang boleh merosakkan perkakasan komputer secara fizikal. 

Contohnya, USB Killer—biasanya menggunakan kapasitor untuk mengumpul cas elektrik dari port USB dengan cepat, kemudian melepaskannya dalam bentuk denyutan voltan tinggi, yang boleh menyebabkan papan induk (motherboard) atau komponen lain rosak terus. 

Dalam kes tertentu, komputer boleh mati sepenuhnya dan tidak boleh dibaiki.


Kenapa Serangan Ini Dilakukan?

Serangan menggunakan USB flash drive bukan sekadar untuk mencuri data atau menyebarkan virus. Kadang-kadang, ia digunakan untuk:

  • Mengawal komputer dari jauh – Penggodam boleh mengakses dan mengawal komputer tanpa pemiliknya sedar.
  • Sabotaj dan gangguan – Dalam persekitaran kerja, serangan ini boleh menyebabkan gangguan besar jika peranti penting terjejas.
  • Merosakkan sistem kritikal – Serangan ini juga boleh digunakan untuk memusnahkan data atau merosakkan sistem yang tidak boleh diganti dengan mudah.

Salah Faham dan Realiti

Ada beberapa salah faham tentang serangan USB flash drive yang perlu diperbetulkan:

  • “Komputer moden ada perlindungan terhadap serangan ini.”
    Tidak semua komputer dilengkapi dengan ciri keselamatan terhadap peranti jahat (malicious devices). Banyak sistem masih terdedah kepada serangan ini.
  • “Serangan hanya berlaku kalau fail dibuka.”
    Salah. Sesetengah USB boleh melancarkan serangan secara automatik tanpa pengguna berbuat apa-apa.
  • “Bila komputer rosak, semua data hilang.”
    Kerosakan perkakasan biasanya tidak memadamkan data dalam hard disk, melainkan terdapat serangan tambahan yang menyasarkan storan.

Amalan Perlindungan dan Keselamatan

  • Jangan sambungkan USB flash drive yang tidak diketahui asal-usulnya.
  • Pastikan sistem keselamatan komputer dikemas kini untuk mengesan peranti mencurigakan.

Bagaimana Pendrive Berbahaya Boleh Merosakkan Komputer Anda

Kesimpulan

USB flash drive boleh jadi lebih daripada sekadar alat penyimpanan data—ia boleh menjadi senjata siber yang berbahaya. Dengan memahami cara serangan ini berlaku, lebih mudah untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan risiko yang tidak diingini.

Jangan sewenang-wenangnya menyambung pendrive USB yang tidak dikenali—lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian!


Sumber: Perbincangan Reddit

Baca juga: Bagaimana Penggodam Melepasi Sekatan Password Salah Berulang Kali

Komen adalah tanggungjawab anda. Diminta kerjasama untuk tidak memasukkan URL di ruang komen.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama