TL;DR
Hipotesis ialah tekaan awal yang perlu diuji untuk tentukan sesuatu betul atau salah, manakala teori ialah penjelasan kukuh hasil daripada banyak ujian dan bukti. Teori boleh berubah bila ada penemuan baharu, contohnya teori graviti Newton diperluaskan oleh Einstein dengan relativiti am.
{tocify} $title={Isi Kandungan}
Dalam dunia sains, dua perkataan yang mungkin buat orang keliru ialah teori dan hipotesis. Dalam perbualan seharian, kedua-duanya sering dianggap sama iaitu sekadar "tekaan". Tapi sebenarnya, dalam sains makna mereka sangat berbeza.
Apakah hipotesis?
Hipotesis boleh dibayangkan sebagai tekaan awal yang masuk akal. Ia lahir daripada pemerhatian atau maklumat asas yang membuatkan penyelidik rasa ada sesuatu yang patut diuji.
Contohnya, seseorang mungkin berfikir "jika tanaman disiram lebih kerap, ia akan tumbuh lebih cepat". Itu hipotesis, sebab ia masih perlu diuji sama ada betul atau tidak.
Apa pula teori?
Teori ialah penjelasan yang jauh lebih besar dan kukuh. Ia terbentuk selepas sesuatu hipotesis diuji berkali-kali, hasilnya disemak oleh penyelidik lain, dan akhirnya diterima sebagai penjelasan terbaik untuk fenomena tertentu.
Teori bukan sekadar meneka, tetapi menjadi rangka kerja yang boleh meramal apa akan berlaku. Teori graviti contohnya, telah diuji berulang kali dan masih berdiri kukuh walaupun mungkin diperhalusi dengan penemuan baharu.
Boleh bayangkan begini: hipotesis ibarat pelan binaan (blueprint), manakala teori pula bangunan yang sudah siap didirikan. Pelan itu penting, tapi hanya bila diuji dan dilaksanakan barulah wujud struktur sebenar.
Teori dan Fakta, apa bezanya?
Kadang-kadang orang fikir teori sama dengan fakta.
Fakta ialah sesuatu yang memang boleh diperhatikan secara langsung, seperti matahari terbit dari timur. Tak perlu diuji berulang kali untuk diyakini, sebab ia sudah jelas benar dalam pengalaman harian.
Teori pula lebih besar, ia cuba jelaskan kenapa dan bagaimana sesuatu berlaku dengan menggabungkan banyak fakta, hukum, dan pemerhatian.
Teori yang kukuh boleh digunakan seakan-akan fakta kerana sangat terbukti, tetapi sains sentiasa terbuka untuk diperbaiki. Jika ada bukti baharu, teori boleh diubah suai supaya lebih tepat, tanpa menafikan semua yang telah diuji sebelum ini.
Adakah teori boleh salah?
Ya, teori boleh berubah atau dilihat tidak lengkap. Sejarah menunjukkan banyak teori lama digantikan atau diubah bila ada bukti baharu. Contoh jelas ialah teori graviti Newton yang kemudian diperluaskan oleh Einstein dengan relativiti (Einstein’s Theory of General Relativity).
Jadi, teori bukan kebenaran mutlak atau benar sepenuhnya, tetapi ia adalah jawapan terbaik setakat ini.
Bagaimana dengan hukum sains?
Hukum sains pula lebih kepada pernyataan matematik yang tepat, seperti Hukum Ohm untuk elektrik (semakin tinggi voltan, semakin kuat arus elektrik yang mengalir). Ia menerangkan hubungan tertentu dengan jelas, tetapi biasanya hanya sebahagian kecil daripada teori yang lebih luas.
Jadi, teori tidak akan "naik taraf" menjadi hukum, kerana kedua-duanya berbeza fungsi.
Secara ringkas, hipotesis ialah cadangan atau idea awal yang perlu diuji, manakala teori ialah penjelasan menyeluruh hasil daripada ujian yang berjaya berulang kali.
Dalam bahasa mudah, hipotesis itu ibarat idea percubaan, dan teori pula adalah cerita lengkap yang menjadikan idea tadi sebahagian daripada gambaran besar.
Sumber: Reddit
Read also:
