Secara ringkas, "4G", "4G LTE" atau "5G" di bahagian atas skrin telefon merujuk kepada generasi rangkaian mudah alih yang digunakan oleh telefon untuk berhubung dengan internet. Setiap generasi membawa peningkatan dari segi kelajuan, kestabilan dan keupayaan rangkaian.
{tocify} $title={Isi Kandungan}
Maksud 4G dan LTE
Semasa 4G diperkenalkan, standard atau piawai asalnya sangat tinggi dan sukar dicapai, dengan sasaran kelajuan sekitar ~100Mbps untuk pengguna mobile dan ~1Gbps untuk sambungan stationary (tidak bergerak).
Jadi banyak syarikat telekom mula guna teknologi baru dipanggil LTE yang lebih laju daripada 3G, walaupun belum capai sepenuhnya tahap 4G sebenar.
LTE bermaksud "Long Term Evolution", versi awal 4G yang lebih mudah dilaksanakan tapi tetap jauh lebih laju daripada 3G. Kemudian berkembang kepada LTE-Advanced, iaitu 4G sepenuhnya yang digunakan hari ini.
$ads={1}
Kenapa 5G dikatakan lebih bagus
5G ialah generasi seterusnya selepas 4G dan direka untuk memberi kelajuan lebih tinggi, sambungan lebih stabil dan tindak balas lebih pantas (latency rendah).
Dalam keadaan ideal ataupun prestasi atas kertas, 5G boleh mencapai kelajuan berpuluh kali ganda lebih laju daripada 4G. Tapi dalam dunia sebenar, kelajuan 5G boleh berbeza bergantung pada kawasan dan jenis rangkaian yang digunakan.
Banyak syarikat masih menggunakan versi 5G yang dipanggil ‘Non-Standalone’ (NSA) yang sebenarnya masih bergantung pada rangkaian 4G. Versi ini boleh dianggap sebagai 5G peralihan, bukan 5G sebenar sepenuhnya seperti rangkaian 'Standalone' (SA). Ia memang lebih baik daripada 4G, tapi belum capai potensi penuh seperti 5G SA.
Jadi kalau telefon sudah tunjuk logo 5G tapi kelajuannya tidak jauh beza, mungkin kawasan itu masih guna mod NSA.
Kelajuan 5G juga bergantung pada frekuensi
Dalam 5G, ada beberapa jenis frekuensi dengan kelajuan dan jarak liputan yang berbeza.
Frekuensi rendah boleh meliputi kawasan luas tapi kelajuannya lebih sederhana, manakala frekuensi tinggi menawarkan kelajuan sangat tinggi tapi jaraknya pendek dan mudah terganggu oleh bangunan atau hujan.
Sebab itu 5G di bandar besar mungkin terasa jauh lebih laju, tapi di luar bandar perbezaannya tidak begitu ketara.
Ia bukan kerana 5G tidak bagus, tapi lebih kepada had liputan dan jenis peralatan yang digunakan oleh syarikat telekom.
Urutan peningkatan prestasi rangkaian
Untuk lebih mudah bayangkan, berikut ialah urutan peningkatan prestasi dari generasi lama hingga ke generasi terkini:
- 3G: Internet mudah alih basic, cukup untuk melayari web dan streaming ringan.
- LTE (awal 4G): Peningkatan besar dalam kelajuan.
- LTE-Advanced (4G sebenar): Versi LTE yang lebih matang dan akhirnya mencapai piawaian sebenar 4G. Inilah yang paling banyak diguna pada hari ini.
- 5G NSA: Lebih pantas daripada 4G tapi masih guna rangkaian 4G sebagai asas, boleh dianggap peringkat peralihan.
- 5G SA: 5G sebenar yang dibina dengan sistem baharu sepenuhnya, sambungannya lebih pantas, tindak balas lebih cepat dan boleh menampung lebih banyak pengguna.
Urutan ini menunjukkan bagaimana setiap generasi berkembang secara berperingkat, bukan perubahan mendadak.
Untuk pengguna biasa, adakah 5G penting
Untuk kegunaan harian seperti menonton video, melayari internet atau media sosial, 4G LTE masih mencukupi bagi kebanyakan orang.
5G mula menunjukkan kelebihannya bila ada ramai pengguna serentak, seperti di festival atau stadium, kerana ia boleh menampung lebih banyak sambungan tanpa gangguan.
Ia juga penting untuk teknologi masa depan seperti kereta tanpa pemandu atau peranti IoT (Internet of Things) iaitu peranti harian seperti lampu pintar, jam tangan pintar, atau sensor yang saling berhubung melalui internet.
Perkembangan 5G di Malaysia
Di Malaysia, rangkaian 5G sudah digunakan di banyak kawasan dan prestasinya dilihat agak baik. Kelajuan 5G boleh jadi beberapa kali ganda lebih pantas berbanding 4G.
Liputan masih berkembang dan tidak semua kawasan mendapat pengalaman yang sama, tapi peningkatan boleh dilihat dari tahun ke tahun.
Malaysia kini dalam fasa memperluaskan liputan 5G dengan beberapa penyedia rangkaian, jadi mungkin dalam masa terdekat perbezaannya akan lebih ketara.
$ads={2}
Kesimpulannya, secara mudah, LTE ialah bentuk awal 4G yang kemudiannya berkembang menjadi LTE-Advanced, iaitu standard 4G sebenar yang digunakan secara meluas hari ini. Seterusnya, 5G hadir dengan versi peralihan NSA dan versi penuh SA yang membawa kelajuan dan tindak balas jauh lebih baik.
Tapi kesannya pada pengguna bergantung kepada liputan, jenis rangkaian dan sokongan peranti.
Jadi kalau telefon sudah ada tanda 5G tapi pengalaman tidak berubah banyak, itu mungkin normal kerana rangkaian sebenar masih dalam proses matang.
Sumber: Reddit (ELI5: The difference between 4G, 4G LTE and 5G)
