{tocify} $title={Table of Contents}
Apakah plak dan kenapa ia bahaya
Plak ialah lapisan nipis dan melekit yang terbentuk daripada bakteria bercampur dengan air liur dan sisa makanan. Ia melekat kuat pada permukaan gigi, biasanya di celah atau dekat garisan gusi.
Bila kita makan makanan manis atau berkanji, bakteria dalam plak guna gula itu untuk hasilkan asid. Asid inilah yang perlahan-lahan melarutkan mineral yang membentuk enamel (lapisan luar keras yang melindungi dalaman gigi).
Masalahnya, plak bukan sekadar kotoran biasa. Ia berbentuk biofilm, macam "filem" nipis yang melindungi bakteria di dalamnya. Ini buatkan air liur atau ubat kumur kurang berkesan kerana asid terkumpul betul-betul di permukaan gigi.
Jadi selagi plak itu tidak diusik, gigi berisiko untuk berlubang.
Apakah kaviti
Kaviti ialah lubang kecil yang terbentuk pada enamel bila mineral gigi larut akibat asid dari plak.
Pada awalnya ia nampak macam tompokan putih kerana mineral mula hilang. Kalau berterusan, lapisan gigi jadi rapuh dan akhirnya terbentuk lubang. Bila sudah terlalu dalam, ia boleh sampai ke dentin dan saraf gigi, menyebabkan sakit atau jangkitan.
$ads={1}
Perlu kerap mengganggu plak bagi mencegah kaviti
Plak yang masih lembut sudah cukup untuk hasilkan asid dan mula rosakkan enamel. Jika dibiarkan beberapa jam hingga hari, plak akan jadi lebih tebal dan berubah.
Bila plak makin tebal dan udara susah masuk, oksigen makin berkurang, bakteria lain yang suka keadaan tanpa oksigen mula mengambil alih, dan bakteria ini biasanya hasilkan lebih banyak asid. Jadi plak lama bukan sahaja lebih susah dibersihkan, tapi juga lebih merosakkan.
Selain itu, plak juga boleh mula mengeras bila bercampur dengan mineral dalam air liur. Proses pengerasan ini boleh bermula seawal 24 jam, dan bila sudah menjadi karang gigi ia tidak dapat dibersihkan dengan berus biasa. Karang ini tak terus menyebabkan kaviti, tapi ia buat permukaan gigi jadi kasar dan mudah perangkap lebih banyak plak, serta sering membawa kepada masalah gusi.
Sebab itu gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari sangat penting. Ia pecahkan biofilm sebelum sempat menebal atau mengeras jadi karang, dan hentikan asid daripada terkumpul lama di permukaan gigi. Bila plak sudah mengeras jadi karang (tartar), hanya doktor gigi boleh keluarkannya dengan alat khas.
Floss pula bantu di bahagian celah gigi yang berus tidak boleh capai. Ia lebih berkesan untuk mencegah masalah gusi, walaupun ada sedikit kesan juga pada kaviti.
Air liur dan fluorida
Air liur sebenarnya cuba neutralkan asid dan ganti semula mineral enamel. Fluorida dalam ubat gigi juga bantu proses ini. Tapi bila plak terlalu tebal, proses baik pulih semula jadi itu terganggu.
Ada cara lain selain berus dan floss?
Ada kajian makmal menunjukkan bahan semula jadi dari sayur cruciferous, dipanggil DIM, boleh kurangkan biofilm bakteria dengan banyak. Tapi ini masih di peringkat kajian dan buat masa sekarang rutin asas seperti gosok dan floss tetap paling penting.
Ringkasan
Plak ialah lapisan bakteria melekit pada gigi yang hasilkan asid bila kita makan makanan bergula atau berkanji. Asid ini melarutkan mineral dalam enamel, iaitu lapisan luar keras yang melindungi dalaman gigi, lalu terbentuk kaviti.
Jika plak dibiarkan lama, bakteria di dalamnya berubah dan biasanya hasilkan lebih banyak asid. Selain itu, plak juga boleh mengeras jadi karang, yang lebih susah dibersihkan dan sering membawa kepada masalah gusi.
Makanan manis dan berkanji yang mudah melekat meningkatkan risiko pembentukan plak, manakala air liur dan fluorida biasanya bantu lindungi gigi, tapi kurang berkesan bila plak terlalu tebal.
Buat masa sekarang gosok gigi dan floss kekal sebagai cara paling penting untuk mengatasi plak.
Sumber: Reddit (ELI5 Why does plaque need to be disrupted to prevent cavities?)
