Di belakang tabir filem atau rancangan TV, kadang-kadang ada babak pelakon berdiri di depan cat atau kain hijau besar. Kemudian bila sudah siap suntingan, latar belakang hijau itu berubah jadi apa saja, menjadi pemandangan bandar sampailah ke planet asing. Tapi kenapa mesti hijau, bukan warna lain?
{tocify} $title={Isi Kandungan}
Sebab utama warna hijau dipilih
Jawapan paling mudah ialah warna hijau jarang ada pada kulit manusia atau pakaian biasa. Jadi komputer boleh asingkan pelakon dari latar belakang lebih mudah tanpa tersilap buang bahagian badan atau baju.
Kalau guna warna yang terlalu dekat dengan warna kulit, proses buang latar jadi lebih sukar.
Kamera digital tangkap warna hijau lebih baik
Kamera moden biasanya lebih sensitif kepada warna hijau kerana sensornya dibina dengan penapis khas dipanggil "Bayer filter pattern". Setiap penapis hanya benarkan satu warna cahaya masuk, dan piksel di bawahnya mengukur sekuat mana cahaya itu.
Dalam Bayer filter pattern ini, kira-kira 50% penapis adalah hijau, manakala merah dan biru masing-masing hanya sekitar 25%. Susunan tidak seimbang ini memang sengaja direka untuk meniru mata manusia yang lebih peka kepada warna hijau.
Sebab itu bahagian hijau dalam imej ada lebih banyak maklumat dan nampak lebih tajam. Hasilnya, bila guna skrin hijau, komputer lebih mudah asingkan pelakon dari latar belakang.
Bila warna biru digunakan?
Warna selain hijau yang juga kerap dipilih ialah biru.
Kru penggambaran kadang guna skrin biru jika pelakon pakai baju hijau ataupun ada banyak objek hijau dalam adegan.
Biru juga kadang lebih sesuai untuk adegan malam sebab ia kurang memantulkan cahaya berbanding hijau. Jadi pilihan warna bergantung pada situasi.
Masalah 'tumpahan' warna
Satu perkara yang sering berlaku ialah cahaya hijau memantul ke atas pelakon, menyebabkan ada kesan hijau pada rambut atau kulit. Keadaan ini dipanggil 'spill'.
Pencahayaan yang betul dan teliti dilakukan bagi mengelak masalah ini. Kalau tidak, editor terpaksa luang lebih masa bersihkan kesan hijau itu semasa suntingan.
Ringkasnya, skrin hijau jadi pilihan utama kerana ia jarang bertembung dengan warna kulit atau pakaian, kamera lebih jelas tangkap warna itu, dan proses suntingan jadi lebih senang. Warna biru diguna bila keadaan memerlukan, jadi kedua-dua warna ini kekal penting dalam dunia produksi visual.
Sumber: Reddit (Why are green screens green?)
