Kenapa Ada Banyak Jenis Pemadam Api

Sebab Ada Banyak Jenis Pemadam Api
Foto oleh Erik Mclean (via Pexels)

Pernah nampak label huruf pada pemadam api seperti A, B, C, dan seterusnya?

Huruf ini menunjukkan kelas pemadam tersebut dan jenis kebakaran yang sesuai untuknya, seperti kebakaran disebabkan kayu dan kertas, minyak atau gris, ataupun peralatan elektrik.

Kebakaran berbeza bergantung pada apa yang terbakar

Kebakaran yang melibatkan kayu tidak bertindak sama seperti kebakaran minyak masak atau logam.

Bahan pepejal seperti kayu dan kertas boleh menyimpan haba jauh di dalamnya. Haba mungkin masih kekal walaupun api di permukaan sudah padam. Jika bahan itu masih cukup panas dan bertemu oksigen lagi, api boleh menyala semula.

$ads={1}

Cecair yang mudah terbakar seperti minyak boleh merebak dengan cepat di sesuatu permukaan. Jika cecair ini terganggu, ia mungkin menyebabkan percikan dan membuat kebakaran lebih besar.

Sesetengah logam pula boleh terbakar pada suhu yang sangat tinggi dan mungkin bertindak balas buruk dengan air.

Disebabkan perbezaan ini, satu cara memadam sahaja tidak sesuai untuk semua keadaan.

Pemadam api hentikan api dengan cara berbeza

Api biasanya memerlukan haba, bahan api dan oksigen untuk terus terbakar. Banyak pemadam api direka untuk mengganggu satu atau lebih daripada bahagian ini.

Ada yang menyejukkan bahan bakar untuk mengurangkan haba seperti air.

Ada yang menolak atau menggantikan oksigen di sekeliling api seperti karbon dioksida (CO2).

Ada yang mengganggu tindak balas kimia yang membuat pembakaran berterusan.

Terdapat juga pemadam yang membentuk lapisan di atas permukaan yang terbakar. Lapisan ini boleh menyekat oksigen dan membantu mengurangkan kemungkinan api menyala semula.

Setiap kaedah ada kelebihan, tetapi juga ada batasannya.

Risiko menggunakan pemadam api yang tidak tepat

Mungkin api berjaya dipadam tetapi itu tidak semestinya menyelesaikan masalah sepenuhnya.

Sebagai contoh, karbon dioksida boleh mengurangkan oksigen untuk sementara waktu. Namun bahan pepejal seperti kayu mungkin masih menyimpan haba di dalamnya. Apabila gas CO2 tersebut hilang, api boleh menyala semula kerana oksigen kembali.

Semburan yang kuat juga boleh menggerakkan cecair yang terbakar atau meniup bahan ringan seperti kertas, lalu menyebabkan api merebak.

Air boleh menyejukkan banyak kebakaran bahan pepejal seperti kayu, tetapi boleh menyebabkan nyalaan menjadi lebih besar pada minyak yang sedang terbakar. Pada peralatan elektrik yang masih hidup, ia juga boleh mendatangkan risiko renjatan.


Secara ringkasnya, kebakaran berbeza bergantung pada bahan yang terbakar. Disebabkan ini, pelbagai jenis pemadam diperlukan untuk menanganinya dengan lebih sesuai.

Walaupun ada pemadam dengan beberapa label atau kelas (seperti ABC,...) padanya, secara umumnya, tidak ada satu jenis pemadam yang sesuai untuk semua kebakaran.

$ads={2}

Sumber: Reddit

Komen adalah tanggungjawab anda. Diminta kerjasama untuk tidak memasukkan URL di ruang komen.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama