Cara Pistol Taser Berfungsi dan Risikonya

renjatan elektrik
Foto oleh Pixabay (via Pexels)

Pistol elektrik atau "Taser" direka sebagai alternatif kepada pistol sebenar bagi menghentikan pergerakan seseorang untuk masa yang singkat menggunakan tenaga elektrik.

Apabila ditembak, peranti ini melancarkan dua jarum kecil (dipanggil "probe") yang disambungkan kepada wayar nipis. Jarum ini mempunyai duri kecil (seperti mata kail) supaya ia boleh melekat pada pakaian atau kulit.

Kedua-dua jarum perlu mengenai sasaran dan berada pada jarak tertentu, membolehkan elektrik bergerak melalui badan dan membentuk litar yang lengkap.

$ads={1}

Sebaik sahaja jarum bersambung, taser menghantar denyutan elektrik voltan tinggi melalui wayar. Voltannya sangat tinggi, tetapi arusnya rendah. Denyutan ini mengganggu isyarat otot yang normal menyebabkan otot mengecut serentak.

Dalam kebanyakan keadaan, ini boleh sebabkan hilang kawalan badan dan rebah.

Kesan ini biasanya hanya berlaku semasa arus elektrik aktif. Apabila ia berhenti, isyarat dan kawalan otot kembali, walaupun orang itu mungkin berasa sakit, keliru, atau letih untuk seketika.

Wayar ini mengalirkan denyutan elektrik dari peranti ke jarum dan membolehkan pengendali (polis) berada beberapa meter jauhnya. Jika satu jarum terlepas atau terputus sambungan, litar akan terputus dan taser tidak dapat berfungsi dengan betul.

Kakitangan perubatan selalunya dipanggil untuk membantu seseorang yang telah terkena taser. Salah satu sebabnya ialah untuk tanggalkan jarum berduri itu dengan selamat kerana proses ini boleh menyakitkan dan mungkin mengoyakkan kulit.

Sebab lain ialah untuk memeriksa keadaan penting seperti nadi dan pernafasan. Kejutan elektrik boleh memberi kesan berbeza kepada setiap orang, terutamanya mereka yang mempunyai masalah jantung, alat pacu jantung, atau risiko kesihatan lain.

Bahaya bukan sahaja datang daripada taser itu, tetapi juga akibat daripada kehilangan kawalan otot secara tiba-tiba. Ia boleh sebabkan seseorang rebah kuat ke atas permukaan keras, terhantuk kepala, atau jatuh di tempat berbahaya. Kecederaan akibat jatuh mungkin lebih serius daripada kejutan elektrik itu.

Atas sebab-sebab ini, umumnya, taser dianggap ‘kurang mematikan’ berbanding senjata api. Ia masih membawa pelbagai risiko dan perlu digunakan dengan berhati-hati.

Sumber: Reddit

Komen adalah tanggungjawab anda. Diminta kerjasama untuk tidak memasukkan URL di ruang komen.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama