Nama seperti kucing, pokok pisang, bunga raya, pokok serai, atau burung murai selalunya diguna dalam perbualan biasa. Tapi dalam bidang sains, nama biasa (common name) kadang-kadang boleh menyebabkan kekeliruan, terutamanya bila tempat berbeza guna nama yang berbeza untuk benda yang sama.
Sebab itu nama saintifik digunakan.
Nama saintifik memberi satu nama khusus untuk satu spesies tertentu. Saintis di seluruh dunia boleh guna nama yang sama walaupun bercakap dalam bahasa yang berbeza. Ini membantu kurangkan salah faham apabila membincangkan haiwan, tumbuhan, kulat, bakteria dan benda hidup lain.
$ads={1}
Nama biasa boleh berubah-ubah ikut negara, negeri, atau kawasan. Di Malaysia sendiri pun ada tumbuhan atau haiwan yang dipanggil dengan nama berlainan bergantung pada tempat. Kadang-kadang satu nama juga boleh digunakan untuk beberapa spesies yang berbeza.
Contohnya, ikan "patin" yang dijual atau disebut orang ramai mungkin merujuk kepada beberapa jenis ikan yang berlainan. Dalam perbualan biasa perkara ini mungkin tidak penting, tapi dalam penyelidikan, penternakan, atau perdagangan, perbezaan spesies boleh jadi penting.
Begitu juga dengan tumbuhan. Ada tumbuhan yang mempunyai banyak nama tempatan bergantung pada kawasan.
Nama saintifik biasanya ditulis dalam bentuk Latin. Contohnya, "Durio zibethinus" untuk durian atau "Felis catus" untuk kucing rumah. Sistem ini mula digunakan secara meluas kerana Latin banyak digunakan dalam penulisan akademik dan sains pada masa dahulu.
Nama saintifik juga berkait dengan sistem pengelasan hidupan (classification). Bahagian pertama biasanya menunjukkan genus, iaitu kumpulan hidupan yang mempunyai hubungan rapat. Bahagian kedua pula membantu membezakan spesis tertentu dalam genus tersebut. Disebabkan ini, nama saintifik boleh membantu menunjukkan hubungan antara hidupan.
Contohnya untuk nama saintifik durian, "Durio zibethinus":
- Durio = genus
- zibethinus = nama khusus untuk spesies tersebut
Ringkasnya, nama saintifik membantu apabila memerlukan cara yang lebih tepat untuk mengenal pasti spesies tertentu dan mengurangkan kekeliruan.
Sumber: Perbincangan Reddit
