Tristan da Cunha sering digambarkan sebagai salah satu tempat paling terpencil yang didiami di dunia. Ia terletak jauh di Lautan Atlantik Selatan, tanpa bandar atau negara yang berdekatan.
Untuk ke sana bukan mudah. Sesetengah orang mengembara dengan kapal selama kira-kira dua minggu dari tempat seperti Cape Town atau Ushuaia.
Kawasan pelabuhan yang cetek membuat kapal besar terpaksa berhenti agak jauh. Keadaan cuaca tidak baik dan laut yang bergelora boleh menyebabkan pendaratan menggunakan bot zodiac di pulau itu gagal.
Kapal kecil dari Cape Town ke pulau ini adalah sangat terhad dan diutamakan kepada penduduk pulau kerana perjalanan hanya berlaku beberapa kali sahaja dalam setahun.
Sejarah komuniti kecil ini
Pulau ini mula-mula diduduki pada tahun 1810. Peneroka awal memanggilnya sebagai "Island of Refreshment". Lama kelamaan, komuniti kecil terbentuk, disokong oleh United Kingdom.
Pada tahun 1961, berlaku letusan gunung berapi dan memaksa semua orang meninggalkan pulau dan berpindah ke UK. Walau bagaimanapun, ramai penduduk pulau itu sukar menyesuaikan diri dengan gaya hidup di UK yang sibuk.
Menjelang tahun 1963, kebanyakan mereka memilih untuk kembali ke pulau. Kini, gunung berapi itu tidak lagi aktif dan menjadi tarikan pelancong.
Terdapat juga peristiwa tragis pada tahun 1885. Ramai orang lelaki di pulau itu maut akibat lemas dalam kemalangan ketika cuba menghampiri kapal yang lalu untuk berdagang. Laut yang bergelora menjadikan perjalanan itu berbahaya, dan mereka tidak pernah kembali.
$ads={1}
Kehidupan di pulau
Kampung di sini dinamakan Edinburgh of the Seven Seas.
Jumlah penduduknya sangat kecil sekitar 250 orang. Komuniti penduduk adalah daripada beberapa keluarga (sekitar 8 keluarga). Namun, populasi penduduk menurun berterusan kerana orang luar sangat sukar untuk menetap di situ.
Pulau ini mempunyai kemudahan asas seperti:
- sebuah hospital
- sebuah sekolah
- dua gereja
- sebuah pasar raya kecil
- sebuah pub bernama Albatross Bar
Di pulau juga ada muzium kecil dan pusat pelancongan.
Penduduk biasanya menguruskan sendiri banyak perkara. Sebagai contoh, kutipan sampah dilakukan seminggu sekali oleh pihak pentadbiran tempatan.
Elektrik datang daripada empat penjana diesel yang beroperasi sepanjang masa.
Kerja dan makanan
Industri utama ialah penangkapan lobster. Hasil tangkapan dieksport ke tempat seperti Eropah dan Afrika.
Pulau ini juga menanam sebahagian makanan mereka sendiri, seperti kentang dan sayur-sayuran. Walaupun begitu, ia masih banyak bergantung kepada kapal bekalan dari Afrika Selatan dan UK. Kapal-kapal ini mungkin hanya tiba setiap beberapa bulan, jadi kehabisan barangan tertentu boleh berlaku.
Sekolah dan pembelajaran
Kanak-kanak belajar di Sekolah St Mary, yang dibuka pada tahun 1975.
Terdapat hanya sebilangan kecil pelajar, dan kelas dikumpulkan mengikut umur. Untuk melanjutkan pendidikan, pelajar mungkin perlu meninggalkan pulau itu dan belajar di luar negara, selalunya di UK atau Afrika Selatan.
Tukul dan silinder logam sebagai alarm
Kehidupan di pulau itu melibatkan beberapa sistem yang unik.
Untuk kecemasan, tiada sistem telefon panggilan kecemasan seperti 911 dan lain-lain. Sebaliknya, penduduk menggunakan tukul untuk memukul silinder logam bagi memberi amaran kepada orang lain.
Terdapat juga "hari ratting". Pada hari ini, penduduk keluar bersama untuk mengawal populasi tikus. Isyarat tukul yang sama digunakan untuk memulakan aktiviti.
Kerajaan tempatan
Pulau ini mempunyai kepimpinannya sendiri, termasuk seorang Ketua Pulau (Chief Islander).
Terdapat juga hanya seorang pegawai polis, yang boleh mengendalikan banyak peranan seperti kastam dan imigresen. Kadar jenayah biasanya rendah, dan kebanyakan isu adalah kecil akibat mabuk dan kesalahan trafik.
Mungkin berlaku perubahan demi masa depan pulau
Ada tanda-tanda bahawa perubahan mungkin diperlukan.
Jumlah penduduk yang bekerja semakin menua dan berkurang, manakala bekalan kadangkala terhad kerana bekalan bergantung kepada kapal yang datang hanya beberapa kali dalam setahun. Keadaan ini boleh menimbulkan tekanan pada masa hadapan.
Menurut Conrad Glass, seorang pegawai polis dan bekas Ketua Pulau, pulau itu mungkin perlu membuat perubahan, termasuk membawa masuk orang luar supaya pulau itu boleh terus bertahan pada masa hadapan.