Kelembapan Udara: Haba Kering vs Haba Lembap

Ringkasan

  • Haba kering: peluh mudah tersejat dan badan cepat sejuk
  • Haba lembap: peluh sukar tersejat, badan rasa lebih panas
  • Suhu yang sama boleh rasa sangat berbeza bergantung pada kelembapan udara
Kelembapan Udara: Haba Kering vs Haba Lembap

{tocify} $title={Isi Kandungan}

Mungkin anda pernah dengar, "Cuaca panas ni lain macam, rasa melekit!"

Beza panas itu sebenarnya datang daripada kelembapan udara, atau humidity. Bila udara penuh dengan wap air, peluh susah nak tersejat dari kulit. Ini jadikan badan rasa lebih panas, walaupun suhu pada termometer tak setinggi mana.

Apakah Haba Kering (Dry Heat)

Haba kering berlaku bila suhu tinggi tapi kelembapan udara sangat rendah, macam di padang pasir. Bila berpeluh dalam keadaan begini, peluh cepat tersejat dari kulit. Peluh yang diserap udara kering melalui proses penyejatan ini memindahkan haba badan ke udara. Ini bantu badan menyejukkan diri secara semula jadi.

Contohnya, suhu 40°C di Arizona mungkin rasa lebih selesa berbanding 33°C di Kuala Lumpur, kerana di Arizona, peluh hilang dengan cepat dan badan tak rasa terlalu “terperangkap” dalam haba.

Apakah Haba Lembap

Haba lembap berlaku bila suhu tinggi dan kelembapan juga tinggi, macam cuaca di Malaysia atau Brazil. Bila udara dah penuh dengan wap air, peluh tak dapat tersejat. Jadi, peluh melekat di badan dan kita terus rasa panas.

Cuaca lembap umpama “berada dalam sauna” atau “berenang dalam udara panas”. Tak cukup dengan tu, bernafas pun rasa berat, dan badan cepat letih.

Suhu Sama, Tapi Rasa Berbeza

Suhu pada termometer kadang tak sama dengan apa yang kita rasa. Contohnya, suhu 35°C di kawasan kering mungkin rasa kurang menyengat berbanding 30°C di kawasan lembap, yang boleh buat badan cepat letih dan peluh menitik macam hujan.

Inilah sebabnya cuaca panas lembap lebih memenatkan. Bila peluh tak tersejat, badan tak dapat buang haba dengan cepat. Tanpa proses penyejatan, haba kekal terperangkap di kulit tanpa berpindah ke udara dan badan sukar menyejuk. Akhirnya, kita rasa lebih panas dari suhu sebenar.

Kenapa Kipas dan Tempat Teduh Lebih Sejuk dalam Haba Kering

Dalam haba kering, duduk di tempat teduh atau guna kipas sangat membantu kerana peluh tersejat dengan cepat, mencipta kesan penyejukan.

Dalam haba lembap, kipas kurang berkesan kerana peluh sukar tersejat, tapi ia masih boleh bantu dengan menggerakkan udara. Dalam keadaan ini, hanya penghawa dingin benar-benar berkesan kalau nak rasa selesa.

Kesan Cuaca Panas Lembap Pada Kesihatan

Peluh yang tak tersejat dalam haba lembap boleh mendatangkan risiko kesihatan. Disebabkan peluh tak tersejat dalam udara lembap, badan sukar menyejuk, akibatnya haba terperangkap dan terjadi dehidrasi. Dalam kes teruk, ini boleh menyebabkan strok haba, terutama jika badan terlalu panas untuk masa lama.


Kesimpulannya,

  • Haba kering lebih mudah dihadapi kerana badan boleh sejukkan diri dengan berpeluh.
  • Haba lembap lebih menyiksa kerana peluh tak tersejat, dan badan jadi cepat panas kerana haba tak berpindah ke udara.
  • Suhu pada termometer tak semestinya sama dengan rasa panas sebenar. Kelembapan udara main peranan besar dalam hal ini.

Kalau cuaca panas rasa "pelik", kemungkinan besar itu haba lembap!

Sumber: Perbincangan Reddit

Komen adalah tanggungjawab anda. Diminta kerjasama untuk tidak memasukkan URL di ruang komen.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama