Bagaimana Sauh Menahan Kapal dan Ditarik Ke Atas Kapal Semula

kapal besar dan sauh kapal
Foto oleh Miguel Cuenca (via Pexels)

Bila bercakap tentang sauh kapal, kita sering membayangkan cangkuk logam besar yang cengkam dasar laut dan menahan kapal di tempatnya.

Bagi kapal yang bersaiz besar, sebenarnya sistem sauh berfungsi lebih kepada arah tarikan dan berat berbanding kuasa cengkaman.

Apabila kapal menurunkan sauh, ia juga melepaskan rantai yang panjang dan sangat berat. Kebanyakannya jatuh di dasar laut dan bukannya tergantung dalam garis lurus yang mungkin kita pernah tengok dalam kartun.

Kapal tak kekal berhenti di tempatnya sebab angin dan ombak menolak kapal ke depan dan ke belakang. Bila ini berlaku, kapal menarik sauh dari arah sisi. Rantai sauh ini melengkung ke dasar laut.

$ads={1}

Tarikan sisi inilah yang membuat sistem sauh menahan kapal, kerana rantai di dasar laut menambah geseran dan berat. Apabila kapal hanyut sedikit, ia perlu mengangkat lebih banyak rantai sebelum ia boleh menarik sauh itu sendiri dengan kuat. Ini boleh mengurangkan sentakan tiba-tiba dan mengelak sauh daripada ditarik keluar dengan terlalu mudah.

Jika kapal semakin hanyut disebabkan angin atau ombak kuat, lebih banyak rantai akan terangkat dari dasar laut, sehingga mungkin menyebabkan sauh juga mula terseret. Jadi petugas kapal perlu melepaskan lebih banyak rantai untuk menambah berat dan geseran.

Mengangkat sauh ke kapal semula

Kapal perlahan-lahan bergerak dekat ke kedudukan sauh sambil menarik rantai. Ini membuat rantai jadi lebih tegak. Tarikan lurus tegak lebih mudah dibuat dan kebanyakan sauh direka dengan bentuk yang mudah melepaskan cengkaman bila ditarik lurus ke atas. Selalunya, dalam kawasan pasir atau lumpur, ia mudah terlepas.

Inilah sebabnya sauh boleh menahan kapal di tempatnya selama berjam-jam, tetapi masih boleh diangkat kemudian.

Zaman dulu, kapal-kapal guna tali yang sangat tebal dan berat. Kapal pada waktu itu juga lebih ringan berbanding kapal besar pada hari ini.

Bot kecil

Untuk bot kecil seperti yacht atau bot memancing, sauh lebih bergantung pada bentuk yang mencengkam dasar laut. Sauh ini biasanya mengguna rantai pendek atau tali sahaja. Tapi panjang tali masih penting supaya tarikan masih berlaku dari sisi yang membantu sauh mencengkam di dasar.


Ringkasnya, sauh berfungsi daripada cara ia ditarik. Kapal 'melekat' di tempatnya bila ditarik dari arah sisi, dan sauh dapat diangkat semula bila rantai lurus menegak.

Sumber: Reddit

Komen adalah tanggungjawab anda. Diminta kerjasama untuk tidak memasukkan URL di ruang komen.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama