Pasti kita pernah melihat garis putih panjang di belakang kapal terbang di langit. Dalam bahasa Inggeris, jejak atau garis ini dipanggil "contrail".
Contrail ialah gabungan perkataan condensation dan trail. Ia kelihatan seperti awan kerana ia secara asasnya adalah awan.
Proses kondensasi
Kondensasi (condensation) ialah proses di mana wap air (gas) bertukar menjadi cecair (liquid) apabila ia disejukkan.
Contohnya, cermin bilik air berkabus bila mandi air hangat, atau titisan air di tepi gelas air sejuk (wap air dalam udara bilik bertemu permukaan sejuk).
Ringkasnya: Wap air (tak nampak) → disejukkan → jadi titisan air kecil yang nampak (awan, kabus, embun, dan lain-lain.)
$ads={1}
Dalam konteks contrail,
Di ketinggian penerbangan ini, udaranya sangat sejuk boleh mencecah -40°C hingga -60°C dan biasanya agak kering. Apabila enjin jet membakar bahan api, ia menghasilkan gas yang mengandungi wap air. Sama seperti kita lihat pada ekzos kereta.
Wap panas dari enjin ini serta-merta membeku apabila bercampur dengan udara sejuk melampau, lalu membentuk awan kristal ais nipis, bukan lagi cecair. Awan kristal ais nipis itulah jejak putih yang kita lihat.
Sebenarnya, walaupun nama “condensation trail” ada perkataan “condensation”, di altitud penerbangan yang sangat sejuk itu wap air selalunya terus menjadi kristal ais tanpa melalui fasa cecair. Proses ini dipanggil deposition.
Nama “contrail” kekal sebab ia sudah digunakan puluhan tahun, tetapi penjelasan sains moden lebih tepat mengatakan kebanyakan contrail terbentuk melalui ice deposition, bukan kondensasi biasa.
Ia adalah idea yang sama macam kita lihat hembusan nafas kita sendiri di pagi yang sangat sejuk, cuma apa yang berlaku di langit itu sebab skalanya lebih besar.
Kadang jejak tu cepat hilang, ataupun boleh kekal lama juga, bergantung pada keadaan udara di sekeliling kapal terbang itu.
Dalam keadaan udara di situ kering, biasanya kristal ais ini cepat hilang kerana tiada "bekalan" wap air. Tapi bila udara lembap jejak tersebut boleh tinggal lebih lama, dan kadang-kadang tersebar kerana tiupan angin.
Secara ringkasnya, jejak garis putih di belakang kapal terbang adalah ais beku terhasil daripada wap panas dari enjin yang bertemu dengan udara sekeliling yang sangat sejuk. Dan cuaca kering atau lembap menentukan berapa cepat ia akan hilang.
Sumber: Reddit