Masuk umur 40-an, tenaga dan semangat berkurang nak buat benda mencabar tak macam dulu-dulu walaupun sihat. Rasa macam cepat letih, lebih suka duduk di rumah daripada keluar cari pengalaman baru. Berdasarkan perbincangan di Reddit ini, ada banyak sebab selain "dah tua".
$ads={1}
Badan penat dan 'slow', tak sama macam dulu
Hormon badan berubah bila umur meningkat. Lelaki biasanya alami penurunan testosteron, manakala wanita mula masuk fasa perimenopause iaitu satu tempoh sebelum menopaus yang boleh buat tenaga turun naik, emosi tak stabil, dan cepat penat.
Kemudian, berkaitan proses pemulihan badan. Badan cepat penat tapi tenaga lambat pulih. Dulu-dulu rehat kejap pun dah ok, bertenaga semula. Otot kurang kuat, dan sel dalam badan jadi kurang cekap hasilkan tenaga. Dan apabila berlaku kecederaan, sakitnya lebih lama nak hilang.
Bayangkan enjin kereta lama yang masih boleh jalan jauh, tapi tak selaju macam masa baru keluar dari kilang.
Tanggungjawab dan tekanan hidup
Masuk umur 40-an selalunya masa ni banyak tanggungjawab datang serentak. Kerja, anak-anak, dan mungkin juga ibu bapa yang semakin berusia. Semua ini perlukan perhatian dan mempengaruhi fizikal dan mental seseorang.
Mungkin badan letih tu sebenarnya datang daripada otak yang sentiasa sibuk fikir itu ini. Setiap hari penuh dengan perkara yang perlu diuruskan. Kurang masa, malah mungkin tiada langsung waktu untuk 'adventure' sebab ada keutamaan yang lebih penting.
Seseorang menilai “keseronokan” berubah
Masa muda, banyak benda rasa baru dan seronok. Tapi bila semakin berumur, rasa ingin tahu tu perlahan-lahan diganti dengan keselesaan pada rutin. Ramai orang kata mereka tak lagi kejar benda baru sebab mereka dah tahu apa yang betul-betul buat mereka bahagia.
Dulu mungkin teruja nak melancong ke sana sini, tapi sekarang lebih suka duduk di rumah sambil minum kopi atau tengok filem kegemaran, sebab pandangan terhadap “keseronokan” tu dah berubah.
Ada yang kata mereka lebih hargai “keselesaan dan kestabilan” berbanding pengalaman baru.
Kesedaran tentang risiko dan bahaya
Masa muda, buat saja tak banyak fikir—main skateboard, naik gunung, dan sebagainya. Tak risau kalau tercedera. Tapi bila umur semakin meningkat, orang lebih sedar dan peduli tentang risiko dan bahaya sesuatu.
Kebanyakan orang berumur 40-an sudah berkeluarga dan ada komitmen besar jadi naluri untuk lindungi diri dan orang tersayang jadi lebih kuat. Bila ada sesuatu yang berisiko tinggi, keputusan difikir lebih lama dan berhati-hati.
Mungkin bukan hilang semangat cuma berubah minat kepada sesuatu yang lain. Dan mementingkan kemahiran berbanding pengalaman adventure baru.
Badan masih sihat cuma bila sudah berumur, orang biasanya mula menghargai ketenangan dan masa dengan orang tersayang di rumah.
