Terdapat pelbagai jenis fail atau format imej seperti JPG, PNG, GIF dan lain-lain. Ini mungkin agak mengelirukan pada kebanyakan orang tapi sebabnya ialah setiap format dibuat untuk tujuan yang berbeza, jadi tiada satu format yang sesuai untuk semua keadaan.
Cara simpan dan mampat (save and compress)
Kebanyakan perbezaan datang daripada cara imej disimpan dan dimampatkan. Imej boleh mengambil banyak ruang, jadi setiap format cuba mengurangkan saiz fail dengan cara yang berbeza.
Ada yang membuang butiran kecil untuk mengecilkan saiz fail. Ini dipanggil pemampatan lossy (lossy compression). Ada yang mengekalkan semua data asal dan ini dipanggil pemampatan lossless (lossless compression).
Format JPG ialah contoh biasa pemampatan lossy. Ia membuang butiran yang mungkin tidak disedari, terutamanya dalam foto. Disebabkan itu, saiz fail boleh menjadi jauh lebih kecil.
PNG pula ialah contoh pemampatan lossless. Ia kekalkan semua butiran jadi imej kekal tajam, tetapi saiz fail biasanya lebih besar.
$ads={1}
BMP pula bukan jenis pemampatan seperti JPG atau PNG. Ia selalunya menyimpan data mentah tanpa (atau sedikit) pemampatan, sebab itu failnya boleh menjadi sangat besar.
Perbezaan format ini mula menjadi penting apabila imej disimpan atau dimampatkan.
Selain itu, format yang lebih baharu seperti WebP juga semakin digunakan, terutamanya di laman web. Ia boleh menawarkan saiz fail yang lebih kecil dengan kualiti yang hampir sama. Namun, penggunaannya mungkin belum sepenuhnya meluas dalam semua aplikasi atau peranti.
Memilih format yang betul
JPG biasanya sesuai untuk foto. Foto dunia sebenar sudah mempunyai noise semula jadi dan tepi (edges) yang tidak terlalu tajam, jadi kehilangan sedikit data mungkin tidak begitu ketara. Mungkin tak nampak perbezaannya kecuali jika dilihat dengan teliti.
Tapi ia tidak sesuai untuk semua jenis imej. Jika anda simpan teks, ikon atau antara muka pengguna (user interface, UI) sebagai JPG, bahagian tepi boleh kelihatan kabur atau pecah. Imej seperti ini bergantung pada garisan yang tajam.
PNG biasanya lebih sesuai untuk keadaan seperti ini. Ia mengekalkan bahagian tepi yang jelas, jadi tangkapan skrin (screenshot) atau logo akan kelihatan lebih bersih. Contohnya, tangkapan skrin telefon yang disimpan sebagai JPG mungkin nampak tak bersih, manakala imej yang sama dalam bentuk PNG biasanya kelihatan lebih jelas.
Sesetengah format juga menyokong transparency. Ini bermaksud sebahagian imej boleh menjadi tidak kelihatan. PNG menyokong transparency yang lebih halus, jadi bahagian tepi imej kelihatan lebih kemas (smooth edges) apabila diletakkan di atas imej lain.
GIF juga menyokong transparency, tetapi lebih terhad dan kurang sesuai untuk foto. Biasanya ia diguna untuk grafik ringkas dan animasi simple.
Kenapa banyak format masih wujud
Jumlah format yang banyak bukan hanya disebabkan faktor teknikal. Sejarah juga memainkan peranan. Ada format yang dicipta untuk mengelakkan isu pelesenan (licensing). Ada juga yang direka untuk kegunaan tertentu, seperti percetakan atau pengimbasan.
Format yang lebih baharu mungkin menawarkan pemampatan yang lebih baik, tetapi belum tentu disokong secara meluas.
Sebab itu format lama masih digunakan bersama format yang lebih baharu.
$ads={2}
Ada satu lagi perkara yang boleh sebabkan kehilangan kualiti dari semasa ke semasa. Bila imej disimpan dalam format lossy seperti JPG berulang kali, kualitinya boleh menurun sedikit demi sedikit. Ini mungkin tidak jelas selepas satu atau dua kali suntingan, tetapi boleh menjadi lebih ketara selepas banyak kali disimpan semula.
Kesimpulannya, format imej wujud kerana setiap situasi memerlukan kelebihan yang berbeza. Ada yang fokus pada saiz fail yang kecil, ada yang mengekalkan kualiti penuh, dan ada yang menyokong ciri seperti transparency atau animasi.
Sumber: Perbincangan Reddit
