Tumor dan Kanser: Bagaimana Terbentuk Sehingga Jadi Berbahaya

{tocify} $title={Isi Kandungan}

Analogi: Bayangkan sebuah bandar

Setiap bangunan ialah sel. Ada polis (sistem imun) dan jurutera (pembaikan DNA). Kebanyakan masa bandar tersusun. Kadang-kadang ada kontraktor yang tidak ikut pelan, bina bangunan/projek haram, sambung bekalan sendiri dan buka cawangan di daerah lain.

Itulah tumor dan metastasis (penyebaran sel kanser ke tempat lain). Polis cuba bertindak tetapi penjenayah menyamar seperti penduduk biasa jadi sukar dikesan.

beza tumor dan kanser

Apa yang buat tumor berbahaya

Masalahnya bukan sekadar "curi makanan" sel sihat. Ketumbuhan yang menyerang (invasif) mengubah struktur organ jadi organ tidak dapat jalankan fungsi. Bila cebisan sel memasuki salur darah atau limfa dan buka koloni baru di tempat lain itu dipanggil metastasis. Bayangkan kilang haram yang buka cawangan tanpa lesen.

Untuk membesar tumor juga perlu salur darah baru. Proses ini dipanggil angiogenesis iaitu pembentukan salur darah baru untuk hantar oksigen dan nutrien. Ini sebabnya ketumbuhan kadang-kadang mengambil masa bertahun-tahun sebelum cukup besar untuk dikesan.

Dari ralat kecil kepada ketumbuhan

Badan ada banyak lapisan keselamatan. Enzim yang membaiki DNA cuba betulkan kerosakan dan sistem imun selalunya melawan sel abnormal. Tapi kadang-kadang kedua-dua mekanisme ini gagal lalu sel rosak terlepas dan mula membiak.

Ralat DNA boleh berlaku secara semula jadi semasa sel menyalin DNA, seperti kesilapan kecil dalam mesin fotostat, atau akibat pendedahan kepada karsinogen (bahan penyebab kanser) seperti sinar UV dan bahan dalam asap rokok yang boleh merosakkan DNA. Kadang-kadang ia gabungan kedua-dua faktor ini, atau juga sedikit pengaruh genetik atau gaya hidup.

Benign vs malignant

Perlu tahu bahawa tidak semua tumor itu kanser. Tumor ialah sebarang ketumbuhan sel abnormal. Ada yang benign iaitu jinak dan ada yang malignant iaitu ganas.

  • Tumor benign membesar di satu tempat sahaja dan tidak merebak. Ia mungkin menyusahkan jika menekan organ penting tapi biasanya boleh dipantau atau dibuang.
  • Tumor malignant ialah kanser. Ia boleh menyusup masuk ke tisu sekeliling dan merebak ke organ lain. Merebak bukan syarat untuk dipanggil kanser sebab tumor yang sudah ganas sudah dikira kanser walaupun belum merebak.

Ringkasnya setiap kanser ialah tumor tapi tidak semua tumor ialah kanser.

Kenapa risiko meningkat dengan umur

Kanser lebih kerap berlaku bila usia meningkat sebab kerosakan DNA terkumpul dalam sel selama bertahun-tahun.

Semakin tua, semakin banyak sel mengalami kesilapan kecil (mutasi), proses pembaikan DNA dan imun badan makin lemah, dan pendedahan lama kepada perkara seperti asap rokok, sinar UV matahari, diet tak sihat, atau pencemaran mula tunjuk kesan.

Apa yang kita boleh buat

Langkah pencegahan paling berkesan ialah kurangkan pendedahan kepada karsinogen. Guna pelindung matahari. Berhenti merokok. Dapatkan vaksin yang mencegah jangkitan penyebab kanser seperti HPV dan hepatitis B.

Selain itu gaya hidup sihat seperti makan seimbang aktif bergerak dan cukup tidur membantu badan lebih tahan. Ini bukan jaminan tapi ia menurunkan risiko pada peringkat populasi.

Rawatan terkini

Rawatan kanser bukan lagi terhad pada kemoterapi dan radioterapi sahaja. Ada juga imunoterapi, iaitu rawatan yang cuba gunakan sistem imun badan untuk kenal pasti dan serang sel kanser.

Sesetengah ubat moden disesuaikan ikut genetik tumor supaya lebih tepat sasaran. Hasilnya berbeza bagi setiap pesakit namun perubatan kini bergerak ke arah rawatan yang lebih khusus dan kurang kesan sampingan.

Bagaimana semua ini saling berkait

Ringkasnya tumor bermula bila sel melanggar peraturan pembahagian (cell division) kerana ralat DNA. Badan biasanya cekap mengesan dan membaiki tetapi kadang-kadang ralat terlepas.

Sesetengah tumor kekal setempat dan jinak, yang lain menyerang membentuk salur darah sendiri dan merebak. Perbezaan ini menerangkan mengapa satu ubat tidak mujarab untuk semua dan mengapa rawatan semakin disesuaikan mengikut jenis dan genetik kanser.


Sumber:Reddit

Baca juga:

Komen adalah tanggungjawab anda. Diminta kerjasama untuk tidak memasukkan URL di ruang komen.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama