Windows 10 akan tamat sokongan pada 14 Oktober 2025 untuk edisi Home dan Pro. Selepas tarikh itu Microsoft tidak lagi keluarkan kemas kini keselamatan, membaiki bugs, atau menyediakan bantuan teknikal untuk PC Windows 10.
Sistem masih boleh digunakan macam biasa tapi selepas itu ia lebih berisiko dari segi keselamatan.
{tocify} $title={Isi Kandungan}
Apa maksud "tamat sokongan" (end of support)
Bila sesuatu sistem operasi tamat sokongan itu bermaksud saluran update rasmi ditutup. Tiada lagi update baru untuk kelemahan keselamatan, tiada pembaikan untuk memberi kestabilan sistem, dan tiada sokongan teknikal rasmi.
Jika kelemahan baharu ditemui selepas tarikh itu, ia mungkin tidak akan dibaiki dan pengguna terdedah pada ancaman siber.
Bayangkan rumah yang kuncinya lama tidak ditukar. Selagi tiada pencuri cuba pecah masuk, rumah nampak selamat. Tapi bila ada cubaan, tiada tukang kunci datang bantu.
Versi Windows 10 terakhir, dan edisi yang masih disokong
- Windows 10 versi 22H2 adalah keluaran terakhir. Sehingga Oktober 2025 ia hanya dapat kemas kini keselamatan dan kualiti bulanan tanpa ciri baharu.
- Edisi LTSC (Long-Term Servicing Channel) tidak terkesan kerana ia ikut jadual hayat sendiri.
- Aplikasi Microsoft 365 dijangka terus terima kemas kini keselamatan untuk beberapa tahun lagi (bergantung pada polisi mereka) walaupun ciri baharu mungkin lebih tertumpu pada Windows 11.
Sokongan perisian (software support)
Selepas sokongan rasmi tamat ada kemungkinan sesetengah software atau game baharu akan mula memerlukan Windows 11 dan tidak lagi berfungsi di Windows 10, tapi bukanlah serta merta.
Situasi ini biasanya berlaku secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun kerana pembangun software tidak mahu lagi keluarkan versi baru untuk sistem yang lama. Mereka mahu fokus bina ciri baharu hanya untuk sistem operasi yang masih hidup dan dapat update keselamatan, contohnya Windows 11.
Jadi, software lama mungkin masih boleh jalan, tapi versi baru biasanya perlukan Windows 11.
Pilihan Extended Security Updates (ESU)
Untuk yang mahu kekal di Windows 10, Microsoft menyediakan pelan Extended Security Updates (ESU). Pilihannya termasuk:
- Menebus mata Microsoft Rewards
- Membayar sekitar $30 USD setahun — harga pengguna rumah (consumer/home users)
- Pengguna di kawasan European Economic Area (EEA) akan menerima tahun pertama ESU secara percuma.
Untuk menebus atau mendaftar ESU, pengguna perlu log masuk akaun Microsoft sekurang-kurangnya sekali setiap 60 hari bagi mengekalkan kelayakan.
Butang pendaftaran ESU akan muncul dalam Windows Update secara berperingkat.
Jika mahu upgrade ke Windows 11
Naik taraf ke Windows 11 memerlukan processor 64-bit, sekurang-kurangnya 4 GB RAM, 64 GB storan, firmware UEFI dengan Secure Boot dan cip TPM 2.0. Banyak PC mungkin sudah ada TPM 2.0 tetapi dimatikan dalam BIOS jadi semak tetapan dahulu.
Jika hardware tidak serasi anda perlu pertimbangkan komputer baru yang moden atau terus guna ESU buat sementara.
Kalau kekal di Windows 10
- Daftar ESU supaya PC terus dapat update keselamatan sekurang-kurangnya setahun lagi
- Hadkan penggunaan internet pada PC lama, gunakannya untuk hal-hal yang kurang/tidak memerlukan interne. Elakkan perkara yang melibatkan data penting
- Pastikan web browser (chrome, firefox, etc) dan aplikasi penting dikemas kini selagi masih ada sokongan/update
- Buat backup data secara berkala dan simpan salinan di storan luaran atau cloud
Ringkasnya
Windows 10 akan tamat sokongan pada 14 Oktober 2025. Selepas itu sistem masih boleh digunakan tetapi tiada lagi update keselamatan atau pembaikan bugs dari Microsoft.
Anda boleh naik taraf ke Windows 11 jika hardware serasi/sesuai, atau gunakan ESU untuk tambah masa.
Kalau terus kekal di Windows 10 tanpa perlindungan tambahan PC akan jadi semakin terdedah dan berisiko tinggi bila kelemahan baru mula dieksploit.
Sumber: Reddit
