Di dalam bilik yang sama, logam dan kayu boleh mencapai suhu yang sama tapi bila disentuh, logam terasa lebih sejuk. Kenapa ada perbezaan ini?
Pengaliran haba (thermal conductivity)
Sebab ini berlaku ialah kulit kita mengesan seberapa pantas haba bergerak. Apabila haba meninggalkan kulit kita dengan cepat, ia terasa sejuk. Apabila haba memasuki kulit kita dengan cepat, ia terasa panas.
Logam sangat bagus dalam menggerakkan haba. Bila sentuh logam, haba mengalir dari kulit yang hangat ke dalam logam dengan cepat. Saraf mengesan kehilangan haba yang cepat ini, jadi logam terasa sejuk.
$ads={1}
Kayu pula berbeza. Ia menggerakkan haba secara perlahan, jadi hanya sedikit haba yang meninggalkan kulit kita pada mulanya. Oleh sebab itu, kayu selalunya terasa kurang sejuk berbanding logam, walaupun sebenarnya tidak.
Kedua-dua objek ini biasanya lebih sejuk daripada badan kita. Jika logam dan kayu lebih hangat daripada kulit, logam biasanya terasa lebih panas. Sebab itulah logam panas boleh membakar kulit lebih cepat berbanding kayu panas pada suhu yang sama.
Ada cara mudah untuk melihat kesan ini. Kiub ais yang diletakkan di atas logam biasanya cair lebih cepat daripada kiub ais di atas kayu.
Ini tidak bermakna logam itu lebih panas. Ini bermakna haba boleh bergerak melalui logam dengan lebih mudah.
Ataupun semasa mengguna ketuhar. Untuk masa yang singkat, udara panas mungkin terasa boleh diterima tetapi menyentuh rak logam boleh menyakitkan hampir serta-merta.
Faktor lain seperti jenis permukaan (licin vs kasar) juga boleh mempengaruhi berapa pantas haba bergerak. Namun dalam kes harian seperti logam vs kayu, pengaliran haba biasanya merupakan sebab utama perbezaan yang kita rasai.
Jadi apabila logam terasa lebih sejuk berbanding kayu, ia bukan disebabkan kurang haba yang tersimpan di dalamnya, tapi kerana logam mengambil haba daripada kulit lebih cepat.
Sumber: Reddit
