Bagaimana Susut Nilai Mata Wang Mempengaruhi Eksport dan Import

kesan kuasa mata wang
Foto: Ryutaro Tsukata (via Pexels)

Lazimnya, nilai mata wang yang semakin lemah dianggap sebagai sesuatu yang buruk.

Tapi ada keadaan di mana apabila ini berlaku, ia membantu sesebuah negara meningkatkan eksport atau menjual lebih banyak barangan ke negara lain.

Apa yang berlaku di sebalik peningkatan eksport ini?

Apabila mata wang susut nilai, pembeli asing dapat menggunakan wang mereka sendiri pada kadar yang lebih sedikit untuk membeli produk yang sama. Harga di negara penjual tidak berubah, tetapi selepas penukaran, ia kelihatan lebih murah kepada pembeli luar.

$ads={1}

Sebagai contoh, sesuatu produk mungkin masih berharga RM40 dalam mata wang tempatan. Sebelum susut nilai, itu mungkin bersamaan 10 dolar. Selepas mata wang menjadi lemah, ia mungkin hanya sekitar 7 atau 8 dolar.

Di negara penjual, produk itu tidak berubah dan masih berharga RM40, tetapi bagi pembeli asing, ia terasa seperti diskaun, kerana bukan lagi 10 dolar.

Disebabkan itu, permintaan boleh meningkat. Pembeli dari negara lain mungkin memilih pilihan yang lebih murah ini berbanding produk dari negara mereka sendiri. Inilah sebab eksport boleh meningkat.

Akan tetapi, keadaan ini mendatangkan kesan buruk lain. Pada masa yang sama, barangan import menjadi lebih mahal. Ini termasuk barangan harian dan juga bahan mentah yang digunakan oleh kilang tempatan. Jadi walaupun eksport mungkin meningkat, kos dalam negara juga boleh naik.

Selain itu, walaupun sesuatu syarikat mungkin menjual lebih banyak produk dan menerima lebih banyak wang dalam mata wang sendiri, wang tersebut apabila digunakan untuk membeli barangan dari luar negara mungkin tidak dapat membeli sebanyak seperti sebelumnya.

Satu lagi perkara ialah kapasiti pengeluaran. Harga yang lebih rendah dan permintaan meningkat tidak bermaksud sesuatu kilang akan menambah pengeluaran. Mungkin pada waktu sebelum mata wang lemah, kilang tersebut sudahpun mencapai had yang ia mampu hasilkan. Jadi ini mungkin hanya bermaksud jumlah yang sama dijual pada nilai yang lebih rendah.


Secara ringkas, mata wang yang lebih lemah boleh membuatkan barangan kelihatan lebih murah kepada pembeli asing, dan ini boleh membantu meningkatkan eksport. Namun pada masa yang sama, barangan import menjadi lebih mahal dan kuasa membeli berkurang.

Sumber: Perbincangan Reddit

Komen adalah tanggungjawab anda. Diminta kerjasama untuk tidak memasukkan URL di ruang komen.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama