Semasa menonton filem lama atau rakaman berita dari puluhan tahun lalu, pernahkah ternampak garisan tegak nipis, bintik atau kesan hitam yang muncul sekejap-sekejap?
Kebanyakan kesan ini sebenarnya berpunca daripada filem itu sendiri.
Filem dulu berbentuk fizikal
Sebelum video digital, filem dirakam pada jalur filem yang panjang.
Filem itu perlu melalui kamera, peralatan penyuntingan, projektor dan banyak mesin lain. Ia juga dikendalikan oleh ramai orang.
Disebabkan itu, filem ini boleh tercalar atau terkena pelbagai jenis kotoran.
Apabila filem ini kemudian diimbas ke dalam format digital, tanda dan kesan-kesan itu jadi kelihatan dalam gambar.
Garisan tegak nipis
Ini biasanya adalah calar pada filem.
Calar ini boleh berlaku semasa penggambaran, semasa penyuntingan, semasa ditayangkan di pawagam ataupun semasa filem itu disalin atau dipelihara.
Bergantung pada bahagian filem yang rosak, ada calar yang kelihatan gelap dan ada yang cerah.
$ads={1}
Kesan hitam
Bintik, tompokan atau kesan hitam kecil ini selalunya berpunca daripada habuk, rambut atau kotoran lain pada filem.
Walau bagaimanapun, jika ia adalah bulatan hitam yang muncul sebentar berhampiran sudut atas skrin, ini mungkin isyarat pertukaran, bukanlah kekotoran.
Apakah isyarat pertukaran ini?
Dulu, sebuah filem penuh biasanya terbahagi kepada beberapa gulungan. Satu gulungan sahaja tidak dapat memuatkan keseluruhan filem.
Seorang juruprojektor akan menyediakan gulungan seterusnya pada projektor lain. Tanda kecil itu muncul seketika pada skrin sebagai petanda kepada juruprojektor supaya bersedia dan kemudian beralih ke gulungan seterusnya.
Bulatan ini dipanggil changeover cue atau cue mark. Ada juga yang mengenalinya sebagai "cigarette burn".
Selepas peredaran masa, banyak pawagam menggabungkan gulungan-gulungan ini menjadi satu gulungan besar dan tanda isyarat itu kekal kerana ia telah dicetak pada filem.
$ads={2}
Kita masih melihat kesan-kesan ini hari ini
Sesetengah filem lama yang kita tonton dalam bentuk digital hari ini menggunakan salinan cetakan, bukan negatif kamera asal.
Jika salinan cetakan tersebut sudah mempunyai calar atau kekotoran, ia boleh muncul dalam versi digital melainkan ia dibersihkan semasa pemulihan.
Jika video moden ada kesan-kesan ini, ia selalunya hanyalah efek video untuk mencipta penampilan vintaj.
Sumber: Perbincangan Reddit
