Apabila kita membeli sesuatu secara online, pembelian itu bukan sekadar memberi keuntungan kepada syarikat. Ia juga boleh berguna kepada syarikat atas sebab lain: ia memberitahu mereka sesuatu tentang kita dan tabiat membeli-belah.
Sesebuah syarikat mungkin mempunyai data daripada beribu-ribu atau berjuta-juta pelanggan. Daripada maklumat ini, sesuatu corak (pattern) boleh muncul.
Contohnya, bayangkan data menunjukkan bahawa ramai orang yang membeli telefon baharu juga membeli case telefon dalam masa beberapa hari. Sesebuah syarikat boleh mempelajari corak ini daripada data beli-belah pelanggannya dan kemudian memaparkan iklan case telefon kepada mereka (targeted advertising).
$ads={1}
Ini membuat pengiklanan lebih cekap. Daripada memaparkan iklan kepada sesiapa saja, sesebuah syarikat boleh memfokuskan iklan itu kepada orang yang lebih berkemungkinan berminat dengan produk tersebut. Ini boleh membantu menjimatkan kos pengiklanan di samping meningkatkan jualan.
Bagi pembeli pula, mereka mungkin lebih kerap melihat cadangan produk yang berkaitan dengan apa yang mereka perlukan (personalized recommendation).
Namun, maklumat ini juga boleh digunakan untuk menggalakkan orang ramai berbelanja lebih banyak, sehingga mungkin mendorong pembelian "impulsif", iaitu membeli sesuatu secara tiba-tiba tanpa merancang atau berfikir panjang, apabila dipaparkan iklan yang sesuai dengan minat mereka.
Selain itu, data pembelian atau beli-belah juga boleh digunakan untuk meramal apa yang mungkin dibeli seseorang seterusnya. Jika pelanggan kerap membeli produk yang sama setiap beberapa minggu, syarikat mungkin perasan corak tersebut. Syarikat kemudiannya boleh mengesyorkan produk itu lagi pada masa mereka dijangka memerlukannya.
$ads={2}
Syarikat juga boleh mengumpul maklumat tentang produk yang kita cari, klik atau luangkan masa untuk melihatnya, walaupun tiada pembelian.
Inilah sebabnya mengapa data daripada ramai pembeli boleh menjadi sangat berharga. Apabila ramai orang menunjukkan tingkah laku yang serupa, syarikat boleh mengetahui produk yang disukai orang ramai, produk lain yang mereka beli bersama, dan apa yang mereka mungkin inginkan pada masa hadapan.
Jadi, nilai berharga data beli-belah bukan sekadar syarikat tahu apa yang kita beli.
Nilai yang lebih besar ialah apabila data ini digabungkan dengan data daripada ramai pembeli lain, ia dapat membantu syarikat memahami apa yang orang mahu, apa yang mungkin mereka beli dan cara mendekati mereka dengan lebih berkesan.
Maklumat tersebut secara langsung dapat membantu perniagaan menjual lebih banyak produk.
Sumber: Perbincangan Reddit
