Pernah buat? Peralatan elektronik seperti TV, alat kawalan jauh, atau sebagainya tiba-tiba tak berfungsi. Jadi kita ketuk atau pukulnya sedikit. Entah macammana, ia mula berfungsi semula.
Penjelasan yang biasa dikatakan ialah masalah pada sambungan.
Di dalam peralatan elektronik, arus elektrik perlu melalui banyak sambungan antara wayar, penyambung, papan litar dan komponen. Sambungan elektrik mungkin jadi tak stabil jika salah satu sambungan ini menjadi longgar, retak, berkarat, atau sedikit terpisah.
Gegaran kecil daripada ketukan atau hentakan kadang-kadang boleh membuatkan bahagian longgar tersebut bersentuhan semula.
KENAPA ADA MASALAH PADA SAMBUNGAN
SAMBUNGAN HAMPIR TERPUTUS
Sambungan pateri (solder) boleh mengalami retakan kecil selepas berulang kali melalui proses pemanasan dan penyejukan. Penyambung boleh menjadi longgar, permukaan bersentuhan boleh mengalami kakisan (corrosion), dan ada komponen yang boleh longgar pada soketnya atau akibat pemasangan yang tak kemas.
Gegaran daripada ketukan boleh membuat sambungan tersebut bersentuhan semula.
Tapi ini bukan membaiki kerana sambungan itu mungkin gagal lagi apabila peralatan bergerak atau suhunya berubah.
Kadang-kadang ketukan itu tak buat apa-apa malah boleh membuatkan keadaan jadi lebih teruk.
$ads={1}
MASALAH DISEBABKAN KAKISAN
Lapisan oksida boleh terbentuk pada permukaan sentuhan elektrik dari masa ke masa. Lapisan ini boleh meningkatkan rintangan pada sambungan dan akhirnya menyebabkan sambungan elektrik menjadi tidak stabil.
RISIKO PERALATAN SEMAKIN ROSAK
Hentakan boleh membuatkan sambungan yang sudah lemah menjadi semakin longgar atau terpisah. Malah ketukan atau hentakan kuat juga boleh merosakkan komponen, papan litar atau sambungan pateri yang memang sudah lemah.
Jadi tabiat ketuk dan hentak ini bukanlah membaiki. Jika peralatan elektronik berfungsi semula selepas diketuk, mungkin sebenarnya ia petanda bahawa alat itu perlu diperiksa.
Ringkasnya, peralatan elektronik itu bukanlah bertindak balas kepada pukulan tersebut.
Gegaran akibat ketukan atau hentakan itu boleh mengubah sambungan dan permukaan yang bersentuhan, dan kadang-kadang ini sudah memadai untuk membuat aliran elektrik stabil semula.
Baca perbincangannya di r/explainlikeimfive.
