Air di tasik atau kolam besar yang mempunyai sedikit atau tiada aliran kadangkala dianggap berbahaya, tetapi apakah bahayanya, dan mengapa pergerakan air boleh membantu mengurangkan risiko tersebut?
Salah satu sebabnya ialah pengumpulan bahan pencemar dan pertumbuhan mikroorganisma.
Apabila air mempunyai aliran masuk dan keluar, bahan seperti tanah dan sisa organik yang dibawa oleh air hujan boleh dibawa keluar bersama aliran air. Pergerakan air juga membantu mencairkan kepekatan sesetengah bahan pencemar.
Dalam tasik yang mempunyai sedikit pertukaran air, bahan seperti daun reput, sisa haiwan dan bahan pencemar lain boleh terkumpul. Keadaan ini boleh menjejaskan kualiti air dan menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan sesetengah bakteria dan protozoa. Air yang tercemar juga boleh mengandungi virus dan parasit yang menyebabkan penyakit, manakala kawasan air yang tidak banyak bergerak juga boleh menjadi habitat bagi haiwan seperti lintah.
Risiko jangkitan boleh berlaku jika tertelan air tercemar itu atau terkena luka terbuka.
Satu lagi bahaya ialah perkara yang tersembunyi di bawah permukaan air.
Permukaan air yang tenang boleh memantulkan cahaya sehingga menyukarkan kita melihat apa yang terdapat di bawahnya. Kita mungkin sukar menganggarkan kedalaman air atau tidak menyedari kewujudan lubang dan objek berbahaya di dasarnya. Air yang keruh pula memburukkan lagi keadaan.
Keadaan ini berisiko jika peneroka menghampiri atau cuba melalui kawasan yang dipenuhi air tanpa mengetahui kedalaman dan keadaan dasarnya.
Pergerakan air membantu mengurangkan sesetengah masalah ini.
Ia boleh membantu membawa bahan pencemar keluar melalui aliran air dan mengurangkan pengumpulannya di satu kawasan. Air bergerak juga boleh mengganggu keadaan yang sesuai untuk sesetengah mikroorganisma.
Sebab itulah di sesetengah tasik buatan terdapat pancutan air yang diguna bagi membantu menggerak dan mengedarkan air.
Sudah tentu, air yang bergerak tidak semestinya bersih atau selamat kerana masih ada risiko kandungan bahan pencemar dan mikroorganisma berbahaya. Dan tak semestinya semua tasik yang kelihatan tenang berbahaya.
Baca perbincangannya di r/explainlikeimfive.

