Kenapa Bentuk Kepala Bullet Train Berbeza-Beza

Isi ringkas

  • Bentuk tren laju berbeza ikut keperluan negara masing-masing
  • Faktor seperti terowong, selekoh, kapasiti dan stesen mempengaruhi reka bentuk
  • Jepun guna muncung panjang untuk kurangkan bunyi dalam terowong
  • Eropah campur rel khas dan rel lama, jadi bentuk tren kena fleksibel
  • Reka bentuk juga dipengaruhi oleh bajet, penampilan dan politik

{tocify} $title={Isi Kandungan}

Kalau tengok kereta api laju atau Bullet Train dari Jepun, Perancis, China, Jerman atau negara lain, memang jelas bentuk depan dia tak sama langsung. Ada yang panjang dan tirus, ada yang lebar dan bulat.

Mungkin ramai orang fikir mesti ada satu bentuk paling aerodinamik dan paling efisien, jadi kenapa tak semua ikut bentuk tu je? Jawapan dia tak semudah tu.

Setiap negara ada keperluan sendiri

Satu sebab utama bentuk muncung tren atau kereta api berbeza ialah keadaan di negara masing-masing.

Di Jepun, contohnya, mereka ada banyak terowong. Jadi bila tren masuk terowong dengan laju, udara termampat boleh hasilkan bunyi "boom" kuat, macam letupan kecil. Untuk kurangkan bunyi tu, mereka reka bentuk muncung tren jadi lebih panjang dan runcing supaya tekanan udara tu disebar perlahan.

Tapi di China, terowong mereka lebih besar, jadi masalah bunyi tak seteruk macam di Jepun. Tak perlu muncung sepanjang tu. Di Eropah pula, tren laju kadang-kadang kena lalu atas landasan lama dalam bandar, bukan sepenuhnya atas laluan khas. Jadi bentuk tren kena ikut saiz landasan dan ruang sedia ada.

Aerodinamik bukan satu-satunya benda penting, ada faktor lain juga

Orang selalu fikir bentuk tren cuma ikut aerodinamik, tapi sebenarnya banyak lagi faktor yang dipertimbangkan.

Contohnya, kapasiti penumpang. Kalau muncung tren terlalu panjang, ruang tempat duduk akan kurang. Ada model Jepun macam E5, hanya ada 6 baris tempat duduk dekat hujung, berbanding model Jerman yang boleh ada sampai 16 baris.

Selain tu, reka bentuk kena ambil kira kos pembuatan, keselamatan, bunyi, dan macam mana tren tu bergerak masa perlahan, contohnya masa masuk ke stesen atau kawasan pertukaran landasan yang biasanya perlukan lebih kawalan.

Bentuk tren bergantung pada sistem rel sedia ada

Ada negara yang had ruang relnya sangat ketat, dikenali sebagai "loading gauge". Ini termasuk tinggi jambatan, lebar platform dan jarak dengan tren dari arah bertentangan.

Kalau tren atau kereta api terlalu lebar atau muncung terlalu panjang, ia mungkin tak muat atau boleh langgar sesuatu masa melalui selekoh tajam.

Sistem rel lama kadang-kadang tak boleh diubah sebab dah dibina lebih 100 tahun dulu.

Tren perlu pusing dan berhenti juga

Tren laju selalunya berjalan atas laluan lurus dan khas, tapi bila sampai dekat bandar atau kawasan stesen, ia tetap kena belok dan tukar laluan.

Kalau bentuk tren terlalu panjang atau tak cukup fleksibel, susah nak buat pusingan atau parkir di kawasan sempit. Jadi pereka bentuk kena fikir juga pasal kelajuan rendah dan selekoh tajam.

Reka bentuk juga ikut kehendak politik, bajet dan rupa

Kadang-kadang bentuk tren/kereta api dipilih bukan sebab teknikal sangat, tapi sebab orang atas suka.

Pegawai kerajaan, pengurus syarikat dan ahli politik yang buat keputusan pembelian ni pun manusia. Mereka mungkin pilih model yang nampak lebih moden, lebih "canggih" atau sesuai dengan imej negara walaupun dari segi teknikal ada bentuk lain yang lebih efisien.

Ada juga kes di mana rupa tren beri kesan pada minat penumpang. Kalau orang rasa tren tu buruk atau pelik, mereka mungkin kurang minat nak naik.

Jepun sendiri guna banyak jenis bentuk tren/kereta api

Walaupun Jepun sering dianggap negara paling maju dalam tren laju atau bullet train, mereka pun tak guna satu bentuk saja. Setiap laluan ada model sendiri ikut keperluan.

Laluan Tokyo–Osaka (Tokaido) guna model yang lebih padat sebab ramai orang guna. Laluan Tohoku pula lebih laju, tapi tak seramai tu, jadi mereka boleh guna muncung lebih panjang dan aerodinamik sebab kurang pentingkan kapasiti. Ada juga laluan kecil (mini-shinkansen) yang guna saiz rel berbeza, jadi bentuk tren kena kecil sikit untuk muat.

Kenapa Bentuk Kepala Setiap Kereta Api Bullet Tak Sama

Pendek kata, semuanya tentang kompromi

Tak ada satu bentuk yang sempurna untuk semua situasi. Kalau nak lebih laju, mungkin kurang ruang. Kalau nak lebih ruang, mungkin lebih berat. Kalau nak kurangkan bunyi, mungkin naikkan kos.

Jadi setiap bentuk tren yang kita tengok hari ini adalah hasil gabungan pelbagai keperluan yang berbeza—terowong, penumpang, stesen, bajet, rupa dan sebagainya.

Boleh dikatakan, sebab utama bentuk tren laju tak sama ialah kerana keperluan dan keadaan di setiap tempat memang berbeza.


Sumber: Reddit

Baca juga:

Komen adalah tanggungjawab anda. Diminta kerjasama untuk tidak memasukkan URL di ruang komen.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama