Kenapa Pemarkahan Tenis Menggunakan 15, 30 dan 40?

raket dan bola tenis
Foto: meartkey(via Pexels)

Ringkasan

  • Tiada siapa yang tahu dengan pasti kenapa tenis menggunakan 15, 30 dan 40.
  • Sistem pemarkahan ini sudah berusia ratusan tahun.
  • Beberapa teori telah dikemukakan selama berabad-abad.
  • Namun, tiada satu pun yang berjaya dibuktikan.

{tocify} $title={Isi Kandungan}

Pernahkah tertanya-tanya kenapa mata dikira sebagai 15, 30 dan 40, bukannya 1, 2 dan 3 seperti kebanyakan sukan lain?

Menariknya, tiada jawapan yang benar-benar pasti.

Sistem pemarkahan tenis sudah terlalu lama wujud sehingga sebab asal ia diperkenalkan hilang ditelan zaman. Oleh itu, ahli sejarah telah mengemukakan beberapa teori untuk menerangkannya, tetapi tiada satu pun yang disahkan sebagai asal usul sebenar.

$ads={1}

Teori 1: Berasal daripada muka jam

Salah satu teori yang paling terkenal ialah sistem ini diambil daripada muka jam.

Menurut teori ini, setiap mata dikatakan menggerakkan jarum jam sebanyak suku pusingan. Skor akan berubah daripada 0 kepada 15, kemudian 30, kemudian 45, dan akhirnya 60 untuk memenangi permainan.

Ada juga yang berpendapat bahawa 45 akhirnya dipendekkan menjadi 40 kerana lebih mudah dan cepat disebut.

Walaupun teori ini sering disebut, tiada bukti sejarah yang membuktikan bahawa inilah asal usul sebenar sistem pemarkahan tenis.

Teori 2: Berkaitan dengan kedudukan pemain di gelanggang

Satu lagi teori mengatakan bahawa ia berasal daripada jeu de paume, iaitu permainan yang menjadi pendahulu kepada tenis moden dan menggunakan peraturan atau cara permainan yang berbeza.

Menurut teori ini, pemain akan bergerak semakin hampir ke jaring setiap kali memenangi satu mata. Mereka dikatakan bermula di garisan belakang, kemudian bergerak ke 15 kaki, 30 kaki dan akhirnya 40 kaki.

Jika benar begitu, angka 40 mungkin digunakan kerana 45 kaki akan meletakkan pemain betul-betul di jaring.

Seperti teori sebelumnya, tiada bukti kukuh yang mengesahkan bahawa inilah asal usul sebenar sistem pemarkahan tenis.

$ads={2}

Kenapa sifar dipanggil "love"?

Asal usul perkataan "love" juga tidak diketahui dengan pasti.

Salah satu teori yang popular mengatakan ia berasal daripada perkataan Perancis l'œuf, yang bermaksud "telur". Oleh sebab telur berbentuk seperti angka sifar, ada yang percaya sebutannya berubah menjadi "love" dari semasa ke semasa.

Satu lagi teori mengatakan pemain yang bermain tanpa mempertaruhkan wang dikatakan bermain "for love", iaitu bermain sekadar untuk keseronokan. Lama-kelamaan, "love" mungkin digunakan untuk membawa maksud tiada mata atau sifar dalam tenis.

Kedua-dua penjelasan ini masih belum dapat dibuktikan.

Bagaimana pula dengan "deuce"?

Asal usul perkataan "deuce" juga masih tidak jelas.

Salah satu penjelasan yang sering disebut ialah ia berasal daripada frasa Perancis à deux, yang bermaksud "dua". Apabila skor menjadi deuce, kedua-dua pemain masih memerlukan dua mata berturut-turut untuk memenangi permainan.

Seperti teori-teori lain, penjelasan ini juga belum dapat disahkan.

Tapi satu perkara yang kita tahu

Walaupun asal usul sistem pemarkahan ini masih menjadi tanda tanya, tujuan peraturan deuce dan advantage pula lebih jelas.

Apabila kedua-dua pemain mencapai 40-40, seseorang pemain perlu memenangi dua mata berturut-turut untuk memenangi permainan. Ini mengelakkan permainan berakhir hanya kerana satu lucky point ketika kedua-dua pemain sama kuat atau seimbang.

Kesimpulan

Sistem pemarkahan ini jauh lebih tua daripada rekod sejarah yang boleh menerangkan bagaimana ia bermula.

Buat masa ini, sebab sebenar di sebalik sistem pemarkahan tenis masih belum diketahui. Teori muka jam, kedudukan pemain di gelanggang dan asal usul istilah seperti "love" dan "deuce" hanyalah beberapa penjelasan yang telah dicadangkan.

Semuanya menarik tetapi masih kekal sebagai teori, bukanlah fakta yang telah dibuktikan.

Sumber: Perbincangan Reddit

Komen adalah tanggungjawab anda. Diminta kerjasama untuk tidak memasukkan URL di ruang komen.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama